Selasa, 19 Mei 2009

no title..!!!


Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani. Assolatuwassalam, selawat dan salam buat junjungan mulia, Muhammad saw Kekasih Istimewa. Salam Sejahtera buat calon suamiku, moga Allah sentiasa merahmati dan memberkati dirimu yang tidak pernah kutemui, namun doaku tidak pernah putus mengiringi setiap langkahmu demi meraih keredhaanNya…

“Seindah perhiasan dunia adalah wanita yang solehah,”


Kumulakan warkah ini dengan bait indah yang ditinggalkan Rasulullah saw kepada seisi alam. Wanita solehah! Idaman semua muslimin di alam maya ini..Alhamdulillah, itulah anjuran Islam yang kita cintai, pilihlah wanita yang mampu menyejukkan pandanganmu dan juga baitul muslim yang bakal dibina tika sampai saat itu, insyaAllah.

Calon Suamiku yang dirahmati,


" Kaum lelaki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita, oleh kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (lelaki) atas sebahagian yang lain (wanita), dan kerana mereka (lelaki) telah menafkahkan sebahagian dari harta mereka".(An-Nissa':34)


Membenarkan seperti apa yang telah Dia katakan dalam QalamNya yang mulia, aku meyakini bahawa engkau adalah pemimpin untukku dan anak-anak pewaris kejihadan Islam yang bakal lahir. Jadikanlah pernikahan ini sebagai asas pembangunan iman dan bukannya untuk memuaskan bisikan syaitan yang menjadikan ikatan pernikahan sebagai tunjang nafsu semata-mata. Moga diriku dan dirimu sentiasa didampingi kerahmatan dan keredhaanNya.


Lakukanlah tanggungjawabmu itu dengan syura kesabaran, qanaah ketabahan moga kita akan menjadi salah satu daripada jemaah saf menuju ke syurga insyaAllah. Ingin aku berbicara mengenai pemberianmu kepadaku. Kau terlalu membimbangkan akan kehendak bersifat duniawi semata-mata. Benar?!
Ketahuilah, aku tidak menginginkan hantaran bersusun, mas kahwin yang hanya akan menyebabkan hatiku buta dalam menilai erti kita dipertemukan oleh Allah atas dasar agama. Cukuplah seandainya, maharku sebuah Qalam Mulia, Al-Quran, kerana aku meyakini Qalam itu mampu memimpin rumahtangga kita dalam meraih keredhaanNya bukan kekayaan dunia yang bersifat sementara.


Bantulah aku dalam menjayakan agama Allah ini melalui pernikahan, kerana ia adalah laluan untuk aku menyempurnakan separuh daripada agamaku, insyaAllah. Akhlakmu yang terdidik indah oleh ibu bapa dan orang sekelilingmu, itulah yang aku harapkan daripada kekayaan duniawi yang kau sediakan. Kutitipkan sebahagian daripada pembacaanku dalam Jalan Dakwah Mustaffa Masyhur, tidak lagi wujud keborosan dan kebakhilan kerana semuanya berada di dalam udara Qana'ah (berpuas hati dengan apa yang ada), redha dan yakin bahawa dunia ini bukanlah negara Janatunna'im.


Lihatlah rumahtangga Rasulullah s.a.w kadang-kadang berlalu sebulan demi sebulan, pernah dapurnya tidak berasap kerana tidak ada bahan makanan yang dapat dimasak. Walaupun demikian susahnya, rumahtangga Rasulullah s.a.w tetap menjadi rumahtangga yang paling bahagia yang tidak ada tolok bandingnya hingga ke hari ini. Terlalu panjang rasanya aku mencoretkan warkah ini. Cukup dahulu buat tika ini, andai diizinkan aku akan kembali menitipkankan lagi kiriman bertintakan hati ini. Akhir bicara, maaf andai tiada pertemuan yang kususuli kerana padaku biarlah merindu daripada jemu tatkala kita disatukan.


Wassalam

.::. Ya Allah, gembirakan kami dengan redhaMu .::. ~tulang rusuk kirimu~ pertemuan... menghadiahkan kita kasih sayang... jika cinta satu pasti bertemu... ia tidak ternilai... kerana antara hati kita telah tiada antaranya lagi yg ada hanyalah cinta kasih Ilahi... kita berpisah hanya sementara kerna pertemuan bukan milik kita... jasad dan suara berjauhan sentiasa namun cinta abadi... biar berpisah selalu menderita kerana syurga menagih ujian sedang neraka dipagari oleh nikmat bertemu tidak jemu...berpisah tak gelisah...

0 ulasan:

Catat Ulasan